Wednesday, December 29, 2010

Akhirnya...2010

Hehehe..akhirnya rajin jugak aku update kan blog ni mengambil semangat adrenalin final Piala Suzuki AFF 2010 yang mana semua orang tahu Malaysia menang dengan aggregat 4-2. Macam biasa aku cuma layan final je hehe..

Tapi apa yang aku nak ceritakan sebenarnya ialah kisah pagi tadi akhirnya aku berjaya juga jumpa dietitian kat klinik tadi setelah sekian lama disuruh oleh misi, bukan aku taknak tapi bini aku bizi memanjang hehe jadi tak pernah ada masa.

Actually dengar ceramah je, adalah dalam 4 orang. Ceritanya berkisahkan apa yang boleh dan tak boleh dimakan untuk pesakit diabetis. Panjang le jugak ceritanya tapi malas nak tulis kat sini. Tak best pun pasal banyak menda takleh makan hahaha...lagipun pesakit diabetis ni degil-degil termasuklah aku, yang tak boleh tu lah yang nak makan sangat..huhu.

Dan kisah keduanya aku berjaya juga menamatkan perkhidmatan tmnet 1515 aku pagi tadi. Kalau ikutkan dah lama aku nak potong ni tapi almaklumlah susah kalau mintak tolong dengan orang hehe..dah 7 tahun melanggan tapi cuma guna 5 tahun pertama je, lagi 2 tahun terbiar gitu je tapi yuran tahunan tetap kena bayar..so pagi tadi aku gertak sikit bini aku hehe kata kalau tak settle hari ni nanti bulan depan kena bayar lagi yuran tahunan dia..

hehehe..pastu laju je dia pergi TM Point settlekan hal ni, pelikkan orang pompuan selalu nak kena kasi psycho sikit barulah nak gerak (aku cakap bini aku ni, orang lain aku tak tahu le..haha) kalau tak macam-macam alasan, sakit kaki le, penat le, duit tak cukup ler, takde cuti ler (yang ini selalu, tapi bila hal dia je mesti boleh ambik cuti..hehe).

Macam minggu ni le bila tanya napa tak gi kerja, selamba je jawab minggu ni cuti seminggu uhhh...memang betul-betul cuti punya, duduk dalam rumah aje takde pergi mana-mana..cuti-cuti rumah...

Dan sekarang ni broadband pun sama le, bayar bulan-bulan tapi nak pakai signal kadang-kadang ada, banyak yang takde, tapi belum lagi nak settlekan, alasan masih ada baki kontrak, nanti kena bayar denda. Kalau aku senang je, potong je broadband pastu masuk streamyx tapi tulah pemikiran lelaki takkan sama dengan wanita kan..masing-masing ada rasionalnya.

Dan akhir sekali bacaan gula aku pada pemeriksaan minggu lepas adalah 5.5.m/mol dan tekanan darah 125/82 . Bila tengok bacaan macam tu rasa macam sihat sikit tapi hari ni punya bacaan tak tahu le hehe..harap-harap terus maintain je...

Begitulah sedikit kisah aku yang sedikit rajin mengupdate blog sambil melawan sedikit kesakitan pada rusuk kiri aku. Apapun aku tetap layan blog kawan-kawan cuma mungkin tidak meninggalkan jejak kerana keadaan aku yang agak tidak mengizinkan, harap dimaafkan...

p/s: ada sapa-sapa tahu apa maksud mimpi buang air besar dalam tandas takde dinding hehe..pastu siap ada orang plak tengok-tengok..

Tuesday, December 7, 2010

Selamat Tahun Baru Hijrah 1432

Seperti tahun-tahun lalu, aku berharap kehidupan aku pada tahun ini akan lebih baik daripada tahun lepas. Semoga kesihatan aku bertambah baik dan harapan aku untuk kembali melangkah tidak pernah pudar...

Monday, November 22, 2010

Dah Ganti Bearing..

bearing baru..
Akhirnya penantian selama hampir setengah tahun berakhir...hehe..bukan dapat baru tapi bearing baru. Terima kasih zul kerana tolong carikan untuk aku. Katanya order kat Sg, Besi..dalam sibuk-sibuk training untuk sukan paralimpik dapat jugak celah-celah untuk tolong kawan.

kembali merempit...
Kesian plak tengok kerusi roda ni, dah macam anak terbiar plak, abis karat sana-sini, maklumlah dah lama tak dibelai hehe...sori le, diri sendiri pun tak terbelai hahaha...

Tapi dah pasang bearing baru, footrest ngan hand arm-rest plak buat hal adui la, sabar jelah. Sementara nak tunggu dapat kerusi baru ni pakai jelah yang mana ada..harap-harap kerusi ni dapat bertahan sehingga dapat penggantinya. huhu...

p/s: ello..ello..socso ke, ada perkembangan tak? socso: bla..bla..bla...aku: zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz...

Thursday, November 18, 2010

Semalam Punya Cerita..

Akhirnya lembu yang terlepas lari sehari sebelum raya selamat dikorbankan semalam setelah Abang Li and the geng's berjaya juga menangkapnya pada pagi raya huhu..lebih kurang 56 kg dagingnya.Alhamdullillah,moga korban ini mendapat keberkatan dari Allah S.A.W hendaknya.

Sup tulang aidil adha

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA UNTUK SEMUA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT.

Saturday, November 13, 2010

Pemuda Jepun bunuh diri secara langsung di Internet

Indahnya alam maya...
Tadi terbaca kat Harian Metro pasal kisah bunuh diri kerana dicabar oleh seorang pengunjung lain dalam satu laman web/forum. Live lagi tu..ish..ish..ish..

Mengapa boleh jadi macam tu. Tak terdaya menanggung tekanan mungkin. Sebenarnya dalam hal-hal macam ni selalu jugak aku tertanya-tertanya seteruk manakah bebanan yang dihadapi oleh seseorang sehingga menjurus kepada perlakuan bunuh diri..

Yang pastinya kebiasaan si mangsa dalam keadaan berseorangan...

#Moral of the story: Jangan biarkan diri keseorangan..dan jangan biarkan dunia maya menguasai kehidupan anda.

@peringatan ini adalah untuk diri penulis sendiri..Harap Maklum.

Wednesday, November 3, 2010

Minat Aku...

Emm aku rasa semua orang ada minat tersendiri. Ada orang kumpul setem, ada jugak simpan mug dan macam-macam lagi. Aku pulak suka baca buku dan kumpul duit syiling dalam mangkuk kaca. Tapi ni cerita dulu. Sekarang ni nak bukak buku pun terasa amatlah malasnya. Cuma buku bank je yang aku rajin baca walaupun tak penah bertambah hehe...Nak kumpul duit syiling pun dah tak kuasa pasalnya nanti Nurin akan kutip letak dalam tabung dia.
Dan sekarang aku dah bertukar kepada  Facebook dan blog plak. Tak taulah nak kata minat ke dah jadi tabiat. Celik mata je bukak facebook walaupun tak pernah update status tapi suka baca  status kawan-kawan. Sama jugak blog dan forum dalam internet, walaupun aku jarang update tapi dah memang minat membaca tak pernah luntur, aku baca je apa yang kawan-kawan update. Sememangnya membaca cara ini adalah lebih mudah sebenarnya. Dari blog juga aku dapat banyak info-info yang sememangnya berguna dalam kehidupan harian, cuma perlu bijak menapis fakta-fakta yang diterima supaya ianya tidak menyeleweng dan sebagainya.
Yang pastinya aku jugak dapat kawan-kawan maya yang boleh berkongsi cerita, info, ilmu dan sebagainya menggantikan kawan-kawan aku yang ada di atas dunia nyata ini yang dah menghilang entah kemana.

Dan yang pentingnya minat aku tak mengganggu orang lain hehe...

p/s: aku dah tukar header title dari ' Kisah Aku' kepada 'aRoL siJiwa Karat' kerana aku rasakan jiwa aku benar-benar berkarat sekarang ni... tanpa prejudis and peace no war...

Saturday, October 30, 2010

Akhirnya Kelantan Juara...2010

Tahniah untuk pasukan Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia 2010 dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1. Perlawanan yang sangat menarik dan menghiburkan.

Piala Malaysia 2010

Tak sabar nak menonton perlawanan akhir Piala Malaysia malam ni antara Kelantan dan Negeri Sembilan kat TV walaupun aku tak follow sangat bola ni. Cuma minat final je pasal semangat final ni lain macam sikit. Sapa yang pernah pergi stadium mesti pernah rasa semangat ni, sukar nak digambarkan tapi memang terasa la, cuma kalau kat depan TV mungkin cam biasa je kot.  Lebih-lebih lagi bila kedengaran lagu "We Are The Champion", macam kita plak yang hero bola..hehehe..
kenangan akhir Piala Malaysia 98'

Aku pun pernah pergi dua kali tengok final kat Stadium Bukit Jalil, dua-dua games antara Terengganu dengan Perak tahun 1998( pertama kali final Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil) dan 2001.

Apa-apapun aku harapkan semuanya akan terkawal malam ni, hanya nak tengok bola bukan gusti, keganasan dan sebagainya.

Untuk kedua-dua pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan serta semua peminat bola, ingatlah "WE ARE THE CHAMPION", so jangan gaduh-gaduh OK..

Thursday, October 28, 2010

Hu..Hu..Mencanak..

Hajat hati hari ni nak balik jengok orang tua tapi pagi semalam kereta buat hal plak. Tiba-tiba je jarum temperature naik mencanak sampai ke level merah, apa lagi kalut semacam la orang umah aku. Hehe..lupa plak nak bagitau bukan aku yang bawak, orang rumah aku yang drive pergi kerja. So parking tepi jalan, pastu call kawan dia bawak pomen tengok, sekali pomen kata motor kipas 'air-cond' rosak. Apalagi hantar kedai tukar baru,pastu ganti 'gas' baru untuk 'air-cond', kopak RM180.

Pastu time nak balik petang jadi plak perkara yang sama, lagi sekali panggil pomen untuk periksa, katanya semua nampak OK.  Motor kipas OK, level air Ok takda tanda bocor pada hose, termostat OK 'kalau tak dah keras hose ni' kata pomen. Sudahnya kereta tu terpaksa ditinggalkan kat rumah kawan dia. 

Malam tadi kawan dia kata pomen tu tengah periksa semuanya OK cuma ada fius yang longgar ( aku agak2 fius kompressor kot) pasal dulu ada masalah air-cond tak sejuk bila parking cuma angin je terasa). Nak kena test dalam sejam tengok ada naik tak 'temperature'.

Pagi ni tepon lagi kawan dia tanya, katanya semuanya OK, takda rosak.

Itulah aku pun susah hati jugak dalam keadaan aku macam ni tak banyak yang aku boleh tolong, habis-habis pun suruh hantar bengkel. Dulu masa adik aku kerja sini senang apa-apa hal suruh dia tengokkan, sekarang dah kerja kat Bentong jauh la plak nak suruh datang tengok. Sekarang ni kalau ada masalah kereta aku telepon la mintak pendapat dia, pastu terangkan kat orang rumah supaya dia faham bila hantar pergi bengkel. Takda la terkebil-kebil bila pomen bagitau dia apa-apa. Tau-tau aje le pompuan bila hantar kereta ke bengkel. apa yang pomen kata semuanya angguk, tak tau pun angguk. Kalau aku angguk jugak, pastu aku tanya balik kalau tak tau..hehe..Dia tak tau dia tanya plak aku yang tak tau ni, terpaksalah plak aku ambik tau huhu..

Tengoklah macamana, tapi minggu ni duduk rumah ajelah pasal orang rumah takut nak drive jauh. Adik aku ada bagitau kemungkinan pasal kereta aku tu, tapi semuanya abang pomen dah periksa cuma pasal tangki tersumbat tu ada tengok tak, tak tau la plak. Nanti petang lah aku tanya...

p/s: kawan-kawan ada pengalaman sama tak, boleh kongsi kot...
nota kaki: pomen - merujuk kepada mekanik 

Monday, October 25, 2010

NovoPen 3

Saja je nak cerita pen aku kena tukar dua minggu lepas pasal farmasi kata insulin yang dibekalkan untuk model pen yang lain, jadi pen pun kena tukar lain. Fungsinya masih sama dengan jarum yang sama cuma modelnya agak lama sikit (ikut kata Pegawai Farmasi tu).

Pada aku tak kisah asal tujuan dia sama, untuk cucuk insulin.

Pen aku dulu nama dia Huma...

Tuesday, October 19, 2010

Hitam Itu Menawan...

 air kopi sambil layan steak ayam dengan sos lada hitam @ home...

Thursday, October 14, 2010

Dari Kerteh Ke Shah Alam...

Perjalanan Hari Pertama (Ahad-10/10/10)
ke Kota Gelanggi 1...tidur semalam, kami bersembang sampai ke tengah malam dengan Ayah Alang kemudian sambung lagi ke pagi esoknya...Semoga Selamat Pergi Dan Selamat Kembali..Amin.
kiri- mak, ayah alang, lee, umie, mak lang/ depan- uyen, aku
Perjalanan Hari Kedua (Isnin-11/10/10)
Ke Shah Alam untuk urusan kerusi roda. Singgah di Bentong umah Cik Ana drop mak kat situ dan teruskan perjalanan. Sampai tengahari dan Alhamdullillah semua urusan yang dirancang beres semuanya dah selesai meskipun ada sikit masalah dengan temujanji yang dibuat tapi dapat diselesaikan dengan baik. Terima kasih kepada Pengurus Maycare Shah Alam dan OT Cik Hanizah serta staff2 lain yang baik hati melayan kami.

Friday, October 8, 2010

Aku Buat Keputusan Ini...

Ke Shah Alam untuk ambil ukuran kerusi roda biarpun pihak Socso kata akan hantar surat rasmi sekiranya ukuran diperlukan.

Aku buat keputusan ini kerana aku fikir pegawai yang terlibat tidak memahami keperluan orang berinsuran seperti aku yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak. 

Aku juga buat keputusan ini kerana aku fikir mereka langsung tidak membuat kajian atas keperluan sebenar orang-orang berinsuran yang memerlukan peralatan yang sesuai untuk terus hidup normal sebaik mungkin. 

Aku juga buat keputusan ini setelah pihak Maycare memaklumkan bahawa pihak berinsuran menyertakan sekali spesifikasi kerusi roda dari Doktor (memo yang aku dapat dari Doktor Pakar berkaitan kerusi roda rupanya lama terperap di dalam fail..ish..ish..ish..mungkin dihantar setelah sebutharga dibuat, tu pun aku yang suruh pegawai tu cari masa perbincangan kat rumah aku baru-baru ni hehehe...) maka pihaknya perlu mendapatkan maklumat yang tepat supaya fungsi kerusi roda akan memenuhi keperluan pihak berinsuran. 
sekeping memo yang dilupakan...

Aku juga buat keputusan ini supaya aku sendiri mendapat pengetahuan cara mendapat ukuran sebenar bagi pengguna kerusi roda tegar seperti aku..huhu..

Dan aku buat keputusan ini kerana adik aku sudi hantarkan Aku dan Mak ke Kota Gelanggi  hari Ahad ini menziarahi Ayah Alang dan Mak Lang yang akan berangkat ke Tanah Suci InsyaAllah  pada 14hb ini (Alhamdullillah) dan seterusnya ke Shah Alam esoknya.

Moga semuanya dipermudahkan oleh Allah..thank Bro dan juga atas doa sahabat semua.

Saturday, October 2, 2010

Aku Dapat Panggilan...

Jumaat 1/10/2010 lebih kurang 2.30 petang

Perbualan lebih kurang macam ni le...

Dia: Hello. Selamat Petang..
Aku: Selamat Petang..
Dia: Saya Mr. L** dari Maycare..so saya mahu tanya pasal ultralight wheelchair. Kami pembekal Wheelchair Quickie kepada Socso.
Aku: Quickie...o  ok.
Dia: So saya nak tahu u nak pakai rigid ke yang lipat?
Aku: u nak rekomen yang mana satu?
Dia: Saya nak rekomen quickie GTi atau GTX..u tahu Sunrise website tak?
Aku: Tak...
Dia: Takpa-takpa, nanti saya email gambar dia. u ada email tak?
Aku: Ada..xxxxxxxxx.gmail.com.
Dia: u pakai saiz berapa?
Aku: 16
Dia: 16 x 18 ...
Aku: 16 x 16 kot..tak sure lah. Err Mr. L, ni dah confirm dapat ker?
Dia:  Emm 80 persen la macam tu...u tinggal mana?
Aku: Kerteh, Terengganu
Dia: Aiyooo jauhnya..kalau u boleh datang Shah Alam ambil ukuran lagi senang. Biasa diorang datang ukur kat sini...Bila u ada datang KL?..
Aku: Takda..nantilah saya fikir dulu macamana..
Dia: Ok, nanti saya miss call u, nanti u telepon Ok..
Aku: Ok terima kasih.. klik
image google..Quickie GTi bukan Satria GTi.

Macamana nak pergi Shah Alam ekk. Tadi telepon sana sini tanya, semua orang tengah bizi. Isteri aku memang surrender tak larat drive jauh (tak boleh paksa orang)...Tengok le sehari dua ni kot kalau-kalau ada sapa-sapa yang kelapangan...Kepada Mu hamba berserah Ya Allah..Lapangkanlah dadaku ...

Monday, September 27, 2010

Bila Lagi Dapat Pengganti..


Entahlah Encik abang Socso ni, bila lagilah kerusi roda aku nak berganti. Dah tak larat rasanya guna kerusi roda tinggi ni. Belakang dan rusuk pun dah mula terasa sakit, kaki dah mula rasa kekejangan terlampau. Tidur malam tak pernah lena kerna kekejangan kaki ini. Tolonglah percepatkan permohonan kerusi rodaku ,dari insan yang hina lagi doif ini...please....abang Socso..
bearing rosak yang tiada penggantinya huhu...

Sunday, September 26, 2010

Tarikh Ini Dalam Sejarah Aku

gambar : google image

26 September 2006, aku dimasukkan ke dalam wad Hospital Sultanah NurZahirah kerana Doktor mensyaki tulang belakang aku bengkok setelah membelek-belek gambar x-tray yang ditunjukkan pada aku. Sebetulnya aku sangat konpius dengan apa yang diberitahu oleh Dokor di bilik kecemasan tu tapi memandangkan dia Doktor dan aku pesakit, terpaksalah aku anggukkan aje.(setelah MRI dilakukan aku disyaki menghidapi TB Spine).

Keadaan aku pada masa tu memang agak teruk kerana kaki aku langsung tidak boleh melangkah lagi, sekadar mampu berdiri sahaja, sungguh pelik rasanya. Asalnya aku hanya sakit belikat kiri 6 bulan sebelumnya dan akhirnya melarat sehingga tidak boleh berjalan. Dan kerana itu Doktor mensyaki ada masalah pada tulang belakang walaupun aku tidak merasakan sebarang kesakitan pada tulang belakang, hanya pada belikat sahaja. 

Sehari sebelumnya aku telah berjumpa dengan Doktor disebuah klinik kesihatan  (doktor yang sama sepanjang 6 bulan sakit), namun terjadi satu kejadian aneh pada hari tu bila seorang nurse yang cuba membantu aku turun dari kereta tiba-tiba menjadi lupa dan memaki hamun isteri aku dengan perkataan yang bukan-bukan. 

Keadaan itu membuatkan klinik tersebut menjadi kecoh dan aku cepat-cepat ditolak masuk dengan kerusi roda ke bilik kecemasan klinik. Setelah menunggu beberapa ketika nurse yang tadi datang memohon maaf kepada aku dan isteri di atas kelakuannya tadi, namun aku dan isteri amat faham keadaan tersebut. 

Sebenarnya banyak perkara-perkara pelik yang kami alami sejak hari pertama aku mengalami kesakitan. Dan banyak jugak tempat yang kami berubat tak kiralah klinik kerajaan, swasta, bomoh, ustad dan juga lain-lain. Mungkin lain kali aku akan tulis pengalaman-pengalaman aku berubat ni. 

Sambung cerita tadi selepas berborak-borak dengan nurse pasal kejadian tadi, aku dibawa berjumpa dengan Doktor dan kali ini Doktor terus menulis satu memo supaya aku dirujukkan kepada seorang pakar  di Hospital untuk memeriksa penyakit aku yang sebenarnya. Dalam pada itu sempat juga Doktor tersebut bertanyakan kejadian yang berlaku sebentar tadi.  Dia sendiri tidak menyangka yang keadaan aku akan jadi seteruk ini, (selama ini dia kata tiada yang serius, tersalah urat aje).

Dan hari ini Doktor tersebut sudah pun bekerja di klinik swasta dan aku hanya  sekadar dapat merenung kembali kenangan lama yang sukar dilupakan...Mungkinkah keadaan aku akan berbeza sekiranya Doktor tersebut dapat mengesani penyakit aku lebih awal... 

Friday, September 24, 2010

Hadiah Hari Raya...

Aku ni memang jakun sikit sebab jarang dapat hadiah, kalau duit tu selalu jugak hehe...Sebenarnya benda ni abang ipar aku yang bagi masa diorang datang rumah minggu ke dua Syawal. 

Ada dua benda yang aku dapat, yang pertama iPhone 4 iPod Shuffle, kiut je ni tapi kapasiti dia 4 Gb, boleh le masuk lagu banyak-banyak dan dengar time-time boring. Orang lain dok sibuk dengan iPhone4, aku dapat iPod pun dah ok dah.

Dulu masa belajar ada jugak beli walkman sony kat Bukit Raja tu, Sekarang ni mana ada orang pakai lagi, discman pun entah2 orang dah tak pakai dah. Semuanya MP3... 

Yang kedua flash drive Corsair Survivor 16Gb ni. Thank Abang Long...dah lama berhajat nak beli cuma tak kesampaian je. Last sekali beli tahun 2005 kapasiti dia cuma 256mb je. Jauh amat beza dia. Yang ni kira ok dah, kalau pakai besar-besar pun risau jugak, kalau rosak, banyak plak data yang hilang..huh..

Tapi korang jangan salah faham plak. Benda ni pun dia dapat hadiah jugak dari kompeni dia hehe...ada lebih dia kasi la kat aku haha...

Memandangkan kompeni dia selalu kasi hadiah, aku dengan muka tak malunya cakap kat abang ipar aku..'lain kali kalau dapat iPhone jangan segan-segan nak kasi kat aku' huahuahua...


'Umie, nak makan jagung'...

Wednesday, September 22, 2010

Aku Keliru...


Keliru kenapa tetikus yang aku baru beli ni lambat sangat detect pada lappy aku. Tak macam yang lama pantas berdesup. Masa mula pasang kusangkakan rosak rupanya terpaksa dibiarkan lama untuk dikesani baunya kehadirannya oleh laptop aku. Kesannya pada aku, geram dan bengang..hehehe tapi takdaler sampai rosak urat saraf kepala bagai...

Bila dibelek-belek rupanya yang baru ni balutan wayarnya lebih tebal berbanding yang lama. Adakah ia mempengaruhi fungsi tetikus tersebut? Aku belum ada jawapannya....

Tuesday, September 7, 2010

Huma Pen - Ergo II - Pen Insulin

Bukan jenama motor atau kereta tapi sejenis pen suntikan untuk pesakit diabetis yang memerlukan insulin sebagai satu kaedah rawatan. Mudah digunakan dan tidak menyakitkan.

Boleh didapati di setiap klinik kerajaan tapi atas arahan Doktor dan yang pastinya untuk pesakit diabetis dan ibu-ibu mengandung je.  Kompenannya ada tiga (3) iaitu pen, insulin dan jarum. Kesemuanya boleh didapati di klinik tapi jarumnya kena bayar 50 sen satu. Boleh guna maksimun 3 kali. Kalau lebih dia tumpul dan mungkin menyakitkan sikit kot.

Botol insulin bersaiz 3ml dan jumlah dos bergantung kepada keperluan pesakit dan boleh diset pada pennya.  Boleh disuntik dibahagian perut sekitar pusat, peha, bontot huhu... dan bahu . Masa bergantung kepada arahan Doktor dan biasanya pukul 11 malam dan bulan puasa ni biasanya lepas makan sahur. 

Begitulah serba sedikit info berkaitan pen insulin, ok lah sembahyang subuh dulu pastu zzzzzzzzzzzzzz.........

Monday, September 6, 2010

Puding Gula Hangus

Sempoi je puding ni, rasanya pun best sesuai sangat untuk buat pencuci mulut ni, bulan puasa ni dah dua kali orang umah buatkan, Ingatkan hari ni nak suruh buat sempena anibeseri tapi umie deman plak, so aku upload je lah gambar ni untuk tatapan umum.

Nak buat ni mudah aje tapi aku malas la plak, so kalau sapa-sapa rajin nak makan bolehlah cuba:

Bahan2..
*10 biji telur
*1 tin susu cair
*secubit garam
6 sudu besar gula - dijadikan gula hangus (masak dalam loyang berdiameter 22 cm dengan api sederhana)

Kacau semua bahan tadi* sampai sebati dan tuangkan ke atas gula hangus tadi dan kukus sampai masak kata orang umah aku. Agak-agak aku dalam 30 minit ke 45 minit gituler...jangan sampai hangus rentung sudah hehehe...

Dah siap telangkup atas pinggan dan bolehlah dimakan.

p/s: resepi sempoi ni kredit pada adik aku Diana..(aku harap dia berjaya bukak kedai makan suatu hari nanti)

Selamat Ulangtahun ke-8 Sayang..

Semoga mahligai kita terus kekal dan dilimpahi rahmat Allah selamanya...

Sunday, September 5, 2010

Datok Sosilawati Hilang?

Datok Sosilawati dilaporkan hilang bersama tiga individu lain ketika menjalankan urusan kerja di Banting. Beliau memaklumkan kepada keluarga akan ke Banting selama 3 hari namun tidak kembali selepas itu. Laporan Polis telah dibuat dan difahamkan belum ada lagi sebarang tuntutan tebusan dibuat ke atas kehilangan beliau. Pijak Polis sedang menyiasat kes ini dan masih belum mendapat apa-apa berita.(laporan Buletin Utama TV3 malam ini)
Tiga (3) individu yang lain ialah peguam beliau, pegawai bank dan pemandunya. Kehilangan ini dikatakan berlaku sejak 30 hb Ogos 2010.

Harap-harap diorang semua selamatlah. Dah dekat nak raya ni..

IKLAN RAYA ALA KRISMAS TV3 MOHON MAAF

Pihak TV3 dalam Buletin Utama malam ni memohon maaf di atas penyiaran iklan hari raya yang mencetuskan kontroversi dan berjanji perkara sedemikian tidak akan berulang kembali.
Entah TV3 ni tak sensitif langsung...

Friday, September 3, 2010

Selamat Hari Raya Semua...

ZTE 3565-Z Lagi..Design Fault Atau Aku Yang Ganas...

Kisahnya dah lama ni akhir bulan Jun hari tu, tengah aku syok2 layan tenet tiba-tiba je line putus. Bukannya tak biasa dengan masalah cam ni, kat rumah aku signal 3G satu bar je (cukup-cukup makan), so faham-faham ajalah. Tapi kali ni terus hilang tak timbul-timbul dah, yang keluar cuma warning kata "not found".

Puas menggodek begitu begini, sekali aku tengok sim kad macam dah menggelembung kat sebelah atas tu, dah agak dah mesti kad rosak ni, takkan broadband kot?. Sebabnya bila test kat henpon pun tak jalan jugak.

So pagi-pagi besok terus call celcom service tanya, konpem sim rosak, jadinya kena tukar baru, caj RM5 . Katanya kena tukar kat Kedai Celcom sebab pakej yang aku guna tu pakej gomen. Pasal Kedai Celcom jauh di Kemaman dan bini aku malas nak ambik cuti terpaksalah hantar kat kedai henpon kat Paka je, budak kedai tu kata 4 - 5 hari baru siap pasal bla..bla..bla..(ini bini aku citer le), aku cakap kat bini aku takkan takleh aktifkan segera kad ganti pasal sim kad baru boleh ambik (sim kad lama diorang tak ambik pun) kat kedai tu je walaupun rasa cam tak puashati je tapi nak buat macam mana orang dah malas, ikut je lah. Lagipun sim kad tu nama bini aku hehehe...

Besok petang bila aku test sim kad baru sekali dah aktif dah, hah cepat plak buat kerja...macam-macam kerenah orang.

Tapi citer sebenar dia bukan pasal sim kad hehe tapi pasal broadband ZTE ni, adakah broadband ZTE 3565-Z ni mempunyai masalah dalam design dia menyebabkan kepanasan melampau kepada sim kad?? Orang lain ada kena tak ker aku sorang je kena...?

Tapi sekarang broadband tu aku simpan je pasal aku dah pakai wifi streamyx hehehe tumpang jiran sebelah  merangkap kakak ipar aku punya huahuahua....

Wednesday, September 1, 2010

Korang Tau Apa Ni...

Tak payah tekalah, nilah sambal asam belacan power hahaha... nama ni aku reka je tak tau orang panggil apa ni. Sebenarnya kalau malas nak tumbuk sambal belacan atau dah boring pekena budu, aku rajin jugak buat menda ni. Peberet abah aku ni hehe...

Cara nak sediakan mudah aja, perah asam limau kasturi 7-8 biji pastu campur belacan dan penyek lada. Siap boleh dicicah dengan petai jeruk dan sebagainya...lupa lak nak bagitau kena makan dengan nasik ni hehe...

 * mood aku melonjak-lonjak nak posting entry malam ni selepas makan belacan power tadi...

Tan Sri Ismail Omar Pengganti KPN Mulai 13 Sept 2010


Dalam berita TV3 tadi Menteri Dalam Negeri Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussin dah umumkan bahawa jawatan Ketua Polis Negara akan diganti dan nama yang dicadangkan adalah Tan Sri Ismail Omar iaitu Timbalan KPN bagi menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang tamat kontraknya pada 12 September 2010.

"Jawatan KPN dan timbalannya adalah Jawatan Khas di bawah Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, di mana pelantikan tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata Hishammudin ketika mengumumkan perkara itu di sini.

Tan Sri Ismail dilahirkan pada 17 Mei, 1953 di Kulim, Kedah, dan menyertai pasukan polis sebagai Inspektor pada 1971. Beliau memegang Ijazah Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Lain-lain boleh baca kat sini .

Harapan aku semoga pasukan Polis diRaja Malaysia akan terus komited dalam menjalankan tugas dengan penuh amanah (gaji pun dah mahalkan...).

Dari Allah Kita Datang, Kepada Allah Kita Kembali...

google image
Petang tadi lebih kurang pukul 6.30 pm petang aku terima mesej daripada adik mengatakan ibu mertuanya meninggal dunia jam 6.25 pm di Hospital Sultanah Nurzahirah. Baru hari Jumaat lepas aku bersembang dengan adik dan adik ipar aku berkenaan maknya yang sakit kanser (tahap 4 baru dapat kesan) dan dah merebak ke ovari dan usus, pada peringkat ini tak banyak yang dapat dilakukan oleh Doktor. Rasanya hampir sebulan lebih maknya berada dalam wad (asalnya ICU lebih kurang 3 minggu namun terpaksa dipindahkan ke wad kerana pesakit lain nak guna katil, lagipun tiada perubahan kata Doktor).


Tahun lepas mak mertua aku (panggil Cik) pun meninggal pada bulan puasa jugak (27 Ramadan 1430H) selepas terlantar hampir dua bulan akibat serangan angin ahmar kecil. Teringat sehari sebelum arwahnya memejam mata, dia sempat memohon maaf dengan semua orang yang ada. Aku ingat lagi sambil memegang tangan aku dia mintak maaf dengan aku sambil mengalir air mata (aku rasa mungkin dia dah tahu masanya telah tiba).

Kakak ipar aku juga maklumkan bahawa Cik mintak nak balik kerumahnya (masa bulan puasa tu kakak ipar aku bawak balik rumah dia supaya senang nak jaga), Cik nak sangat baring atas katil dia. Jadi petang tu diorang pun hantar balik kerumah dan baringkan Cik atas katil (katil diorang pasangkan kat ruang tamu siap-siap sebelum Cik sampai). Alhamdullillah malam tu Cik dapat baring atas katil dia dan pagi esoknya Cik kembali menghadap Penciptanya...Aruah Cik pergi seminggu selepas kakaknya meninggal dunia, kasih sayang adik beradik dibawa mati....

Kisah aku plak pada 15 Ramadan 1427H, aku menjalani pembedahan tulang belakang walaupun telah lumpuh tapi diberi peluang oleh Allah untuk terus menghirup udara segar. Dan pada bulan tersebut ada juga kawan-kawan satu wad yang kembali kepada Allah. Dan yang pastinya Janji Allah Adalah Benar...

Al-Fatihah untuk semua saudara mara, sahabat handai, rakan taulan yang telah pergi...

Tuesday, August 31, 2010

Dah 53 Tahun Malaysia Merdeka...

photo:google image

Sedar tak sedar dah 53 tahun dah negara kita merdeka dari penjajah. Harapan aku negara Malaysia tercinta ini akan terus aman dan damai walaupun sekarang ini dah semakin panas dengan isu-isu 'perkauman' dan sebagainya. Moga semuanya dapat diselesaikan secara berhemah.

MERDEKA!  MERDEKA!  MERDEKA!

Monday, August 23, 2010

Bersahur Cara Rasulullah


Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur." – Rujuk Fathul Baari, Jil. 11, ms. 120.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 643

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." - Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." - Surah al-Baqarah: 187

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w ." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1920.

Qadi Iyadh r.h berkata: "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar." - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11, ms. 114.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Salam Ramadan 1431H

Thursday, June 3, 2010

Syukur Aku Masih Lagi Bernafas...

Alhamdullillah...
Hari ini aku masih lagi diberi kesempatan untuk menikmati kenikmatan hidup walau dalam keadaan yang kurang sempurna namun masih tetap ada yang sayang...terharunya.



Semalam genap usiaku 38 tahun dan aku tetap bersyukur dapat terus menikmati udara ini walau ada yang telah tiada di sisi. Sudah menjadi lumrah alam yang hidup pasti akan mati dan kerana itu sudah semestinya aku yang masih bernafas ini meneruskan kehidupan sebaik mungkin...



Dan sehari sebelum semalam uyen telah menunjukkan lukisan pertama yang dibuatnya di tadika dan aku sungguh terharu kerana aku sememangnya wujud dalam hidupnya...sebagaimana yang selalu disebutnya 'yen sayang ummi dan aboh'...

Wednesday, May 26, 2010

Gunung Ledang...1276

(Naza, Amy, Mizu, Wan, Aku, Man - Abg Naim tiada dlm gambar)

Tadi bila belek-belek album lama tertengok plak gambar masa panjat Gunung Ledang ni. Banyak jugak yang boleh dipelajari bila buat aktiviti-aktiviti macam ni lebih-lebih lagi bila berkumpulan. Macam-macam hal berlaku sampai bertekak bergaduh pun ada walaupun 3 hari je berkemah. Tapi semua tu kisah lama, hari ni aku nak cerita sikit kenangan terindah pasal pengembaraan team Bisa 97' - 99' (UitM Shah Alam).

(puncak gunung - kecik aje tempat dia)

Kisah ni bermula hujung tahun 1997 apabila abang Naim yang bagi idea untuk panjat gunung ni untuk tujuan riadah, mula-mula ramai yang nak ikut last-last time nak pergi cuma 7 orang je ready. Termasuk abang Naim, aku, Amy, Naza, Mizu, Wan dan Man. Dalam tujuh orang ni, abang Naim dengan Amy je yang pernah naik gunung ni, yang lain pernah panjat tangga kelas je.

Dari Shah Alam kami bertolak kerumah abang Naim di Johor Bahru. Malam tu tidur rumah abang Naim. Abang Naim ni dulu ada team yang organise aktiviti panjat memanjat ni kat Johor, so malam tu penuhlah rumah abang Naim dengan member-member dia yang datang raikan kami sambil bawak beg, khemah dan segala macam peralatan berkemah untuk dipinjamkan kepada kami yang daif dan naif ni. Masa tu bangga pun ada macam nak bawak misi panjat Everest plak rasa.

Teringat lagi kisah beg masing-masing ditimbang supaya sama-rata, rasanya 20 liter sorang kot, tujuannya untuk mengelak perasaan dengki. Masa tu kami tak faham pun cuma angguk je. Satu lagi tips yang aku ingat bila isi barang dalam beg ialah barang berat kat atas, yang ringan kat bawah. Tujuannya untuk menegakkan tubuh kita, gitulah lebih kurang maksud dia...hehe..dan beban pun terasa lebih ringan.

Besok-besok pagi kami bertolak ke Gunung Ledang melalui Sagil. Ada dua jalan nak panjat gunung ni satu melalui Asahan, Melaka (yang ni trek mudah kata Abang Naim) dan satu lagi melalui laluan yang mencabar iaitu Sagil.

(bonsai)

Lepas mendaftar di pejabat 'Ranger' dan dikenakan sedikit bayaran, kami pun mula mendaki rasanya dalam pukul 10 pagi. Difahamkan kebiasaan orang mendaki dalam 5 jam tapi kami sampai ke puncak dalam 11 jam hahaha...maklumlah pancit. Masa sampai puncak tu hari dah gelap, nak turun ke Bukit Botak (tempat terakhir ada air/campsite) pun dah tak berani jadi kami terus pasang khemah, bawah sikit pada puncak gunung. Kat puncak tak dibenarkan pasang khemah pasal bahaya kilat dan sebagainya. Lagipun angin tersangatlah kuatnya.

(bawah puncak gunung - lepas naik matahari)

Masa pasang khemah pun terpaksa dua orang masuk kedalam untuk mengelakkan khemah terbang. Kami pasang dua khemah (khemah 2 orang) dan tidur berhimpit-himpit. Mungkin masing-masing dah terlampau penat jadi kami semua pun tidur tanpa makan pun malam tu.

Pagi besok kami pun bertolak turun ke Kolam Puteri dan bermalam disitu. Lusanya kami turun ke bawah dan selesailah tugas kami membawa cabaran mendaki Gunung Ledang yang setinggi 1276 meter tu...

Gitulah serba sedikit kenangan terindah yang aku ingat, yang tak berapa indah banyak jugak macam bergaduh hal kecik-kecik, maklumlah masing-masing penat. Yang mistik pun ada macam Man yang terserempak orang kenit melintas. Yang lain-lain tu macam kisah-kisah pendaki lain gak lah. Yang pasti bila turun beg ringan tapi bawak sampah da....

(2nd time naik 1999 -tidur atas batu..hehe)

p/s: kali kedua aku panjat lagi tapi sekerat jalan je, time ni berlima..hehehe ( 1999).

Monday, May 17, 2010

Cara Buka Keyboard Acer TravelMate 2413



Kisahnya laptop ni ada masalah dengan bunyi beep berpanjangan masa nak boot os windows tapi sangkut kat logo Acer tak bergerak-gerak. Bila tekan "enter" masuk ke option dan pilih 'normal windows' baru lepas masuk sistem.

Jadi aku pun macam biasa berlagak terrer godek sana godek sini dan akhirnya jumpalah punca dia, rupa-rupanya keyboard rosak. Bawah ni aku tunjuk cara nak tanggalkan keyboard tu, guna screwdriver kecik yang rata untuk kerja-kerja remeh tapi menyesakkan nih (kena hati-hati pasal klip dia plastik je).
1. Apa-apa hal buang bateri dulu kemudian buka klip lcd kat belakang tu.

2. Buka semua skru kat bawah laptop tu supaya body dia longgar.


3. Cungkil panel plastik dengan hati-hati sampai terbuka semua klip dan tanggalkan.

4. Buka skru keyboard untuk tanggalkan (ada satu skru) dan siap.

Kalau nak tahu pasal beep codes boleh tengok SINI

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU

Selamat Hari Guru aku ucapkan pada semua guru-guru yang telah bertungkus lumus mendidik anak-anak bangsa menjadi manusia berjaya dan berguna di muka bumi Allah ini. 

Ucapan ini juga aku tujukan pada abah selaku guru  pencen, long dan aku sendiri yang pernah jadi guru ganti (pada cikgu yang nak melahirkan anak) hehe...

Kalau dikira mungkin aku insan paling ramai cikgu sebab aku bersekolah di 4 buah sekolah rendah, 3 sekolah menengah dan 2 ipta, tapi tu ler belajar malas, result cukup-cukup makan je..

Ingatan pada kenangan waktu sekolah pun tak banyak mana pasal asyik tukar sekolah je tapi masa sekolah rendah aku ingat suka lepak library baca buku penyiasatan Hardy Boy tak silap aku, kena berdiri atas meja dan main sukan. Sukan plak semua sukan aku main.

Bila sekolah menengah main sukan gak yang aku ingat macam main bolasepak, bola baling, takraw, hoki tapi olahraga aku tak minat. Bola jaring kadang-kadang main gak huahuahua...entah sapa la suruh berlatih main bola jaring ni...

Kat UTM ngan UiTM(masa masuk ITM, bila gred UiTM) yang aku ingat tiap-tiap semester mesti ada lawatan hahaha...pastu siap kena ugut lagi kalau tak siap assignment on time tak boleh ikut trip...

Tapi itulah setiap cerita membawa kenangan bersama insan-insan yang telah mendidik kita dengan penuh keiklasan..

Tadi sempat pergi beli hadiah untuk cikgu sekolah Nurin, beria-ria dia nak belikan hadiah untuk cikgu. "Nanti hari guru semua murid-murid pakai pakaian biasa" kata Nurin. "Abah, nanti hari guru Yen jadi ketam.." "hah, jadi ketam" kata aku. "Abah, kenapa Yen kena jadi ketam" tanya Nurin. emmmmmm kenapa ek. "besok je lah tanya cikgu"..jawab aku.


Saturday, May 8, 2010

Tiga Dalam HatiKu...Selamat Hari Ibu

Bahagian I...



Untuk ibuku Siti Hajar Abu Bakar, ku titipkan ucapan terima kasih atas segalanya, mohon ampunkan segala dosa serta halalkan makan dan minum. Tidak dapat ku membalasnya sekadar doa yang dapat kupanjatkan setiap kali solatku moga Allah mengampunkan dosa kedua ibubapaku.

Nurin menangis-nangis bila bangun tidur pagi tadi, perkataan pertama yang keluar daripada mulutnya " Abah, mana Ummi?". Setiap kali bangun tidur dan Ummi tiada disisi, itulah soalan yang ditanya. Dan aku pasti kalau di tanya pada siapa-siapa pun, jawapannya Ibu adalah segala-galanya.

Samalah dengan aku, Emak sentiasa bertahta di hatiku. Mana mungkin dapat melupakan jasa emak yang membesarkan kita dengan penuh kasih sayang (hehe..pernah gak kena rotan masa kecik-kecik dulu pasal isap rokok gulung kertas suratkhabo) dari kecik sampailah ke tua ni pun, kasih sayangnya tidak pernah pudar. Mana mungkin melupakan emak yang membasuh punggungku daripada kecik sampailah masa sakitku. Mana mungkin melupakan emak yang menjaga makan-minumku dari kecik sampailah masa sakitku.

Tidak mungkin aku melupakan.....

Aku sayangkan Mak.....


Bahagian II...



Untuk isteriku Mariati Musa, terima kasih atas segalanya. Perkongsian ini sungguh bermakna walau dilanda badai bergelora, Ummi masih tetap di sini mengharungi arus menggila. Pastinya setiap hari yang dilalui sungguh bermakna.

Mana mungkin dapat melupakan saat-saat kasih sayangmu, bahagiamu, marahmu, sedihmu, kecewamu dan rasa gembiramu.

Tidak mungkin aku melupakan......

Aku sayang Ummi...


Bahagian III



Untuk anakku Nurin Imanina...belum cukup umur lagi hehehe....

Abah sayang Adik....


Bahagian IV

Untuk Ibu, Ummi, Nurin dan juga Allahyarhamah Ibu mertuaku...

Ku panjatkan doa kepadaNya semoga kekasih-kekasihku ini diampunkan dosa-dosa mereka, diberkati hidup dan dimurahkan rezeki.

Amin.





Friday, May 7, 2010

Aku Dengan Rakusnya...

Aku dengan pantasnya ke dapur tengok apa-apa yang patut boleh makan , maklumlah pagi ni takda breakfast. Biasalah hari cuti, mem nak rehat.

(sayur nangka + kerabu nangka+ayam pencen+nasi+air mangga)

Sekali tengok atas meja ada sayur nangka (kakak ipar kasi), pastu Ummi buatkan kerabu nangka dan ayam pencen masak merah.  Apa lagi aku dengan gaya tak sabar dan perut yang bergelora terus santap segala yang ada. Punyalah kenyang hari ni, biasa-biasa makan ala kadar aje, tapi yang ni special sikit., sebab lauk ni orang malas nak buat..oh..yang kuning tu air mangga sunquick..

*p/s- malam ni aku makan lagi lauk ni..hehehe..